Kita biasa dengan perkataan mortgage ini, sebab ia merupakan satu perkataan yang berkait dengan produk financing untuk kita membeli rumah ataupun ia berkait dengan satu bentuk produk perlindungan perumahan. Namun pernah tak anda dengar produk yang diberi nama Reverse Mortgage?
Reverse Mortgage atau Skim Saraan Bercagar (SSB) yang dikelolakan oleh Cagamas Berhad adalah satu jenis pinjaman yang dikhususkan kepada warga emas atau para pesara yang memiliki rumah kediaman, membolehkan mereka menukar aset hartanah kediaman mereka kepada pendapatan bulanan tetap yang dibayar sepanjang hayat mereka tanpa melepaskan hakmilik dan boleh kekal tinggal di rumah mereka.
Skim ini sebenarnya untuk warga berusia 55 tahun dan ke atas, mempunyai rumah sendiri serta rumah tersebut tidak terikat dengan mana-mana pinjaman atau pembiayaan bank.
Jadi bayangkan, anda tidak perlu buat refinance atau remortgage. Namun dengan Skim Reverse Mortgage ini anda masih boleh kekal duduk dalam rumah anda, tak perlu tukar hak milik sambil itu terima pendapatan bulanan dan teruskan kehidupan seperti biasa. Mungkin ini yang dinamakan sebagai “duduk rumah goyang kaki, dapat duit!”
Sebenarnya produk ini sesuai bagi mereka yang sudah kekurangan duit saraan, tidak terima wang pencen, tiada punca pendapatan dan ingin meneruskan rutin harian mereka tanpa bergantung kepada mana-mana pihak terutamanya jika ia melibatkan wang. Kos sara hidup semakin meningkat dengan peningkatan harga barangan dan lain-lain menyebabkan ramai orang terkesan terutamanya kepada golongan yang sudah berpencen.
Ia boleh dijadikan sebagai satu solusi terbaik bagi mereka yang tidak mahu menjual ‘syurga’ mereka kepada orang lain semata-mata untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dalam erti kata lain, skim ini membantu golongan warga emas membiayai persaraan mereka.
Skim ini membolehkan golongan berusia 55 tahun ke atas, meminjam berbanding nilai rumah mereka yang dibayar penuh dan menukarkannya kepada penerimaan pembayaran tunai bulanan tetap sepanjang hayat mereka.
Dengan dana permulaan berjumlah RM100 juta yang telah diperuntukkan dalam program ini, pinjaman ini akan ditawarkan pada pembiayaan kadar tetap sebanyak lima peratus setahun. Menerusi tawaran kadar tetap, skim ini mampu menawarkan bayaran bulanan yang lebih tinggi kepada pesara sepanjang tempoh pinjaman walaupun kadar OPR berubah dari masa ke masa.
Sampai bila bayaran bulanan akan diterima? Jawapannya seumur hidup!
Tiada pembayaran balik diperlukan bagi sepanjang hayat peminjam. Pembayaran balik hanya perlu dibuat apabila peminjam meninggal dunia atau sekiranya ia adalah pinjaman SSB bersama, pembayaran balik hanya dibuat apabila kedua-dua peminjam meninggal dunia.
Pewaris peminjam mempunyai 2 pilihan sama ada ingin menjelaskan baki pinjaman untuk tebus balik rumah yang telah dicagarkan atau sekiranya memilih untuk tidak menjelaskan baki pinjaman, Cagamas akan menjual rumah tersebut untuk melunaskan jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil. Sekiranya terdapat sebarang lebihan dari penjualan, Cagamas akan memulangkan lebihan hasil jualan kepada pewaris yang layak.
Sebaliknya, jika hasil penjualan kurang daripada jumlah kumulatif pinjaman yang telah diambil, ia akan ditanggung sepenuhnya oleh Cagamas.
Permohonan bagi Skim Saraan Bercagar ini telah mula dibuka sejak 17 Januari 2022. Ia adalah satu projek perintis yang dilancarkan Cagamas Berhad hanya untuk pemilik rumah di Lembah Klang (Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)
Source : Majalah Labur
****************************************************************************
DISCLAIMER: Segala yang ditulis di fanpage atau blog www.KewanganAnda.com adalah dari sumber bacaan saya, pandangan saya secara peribadi dan tidak melambangkan atau mewakili mana-mana organisasi yang saya terlibat.
Leave a Reply