Sumber: Berita Harian, Sabtu, 25 Februari 2012.
Usaha capai nilai harta bersih positif selepas ditolak hutang, liabiliti lain.
Nilai harta bersih adalah jumlah aset ditolak liabiliti. Anda mempunyai nilai harta bersih yang positif jika apa yang anda miliki lebih daripada hutang anda.
Sekiranya ini berlaku, tahniah diucapkan kepada anda kerana ini bermakna, anda mempunyai kedudukan kewangan yang sihat. Bagaimanapun, memiliki nilai harta bersih yang tinggi tidak memberi jaminan bahawa anda tidak akan menghadapi kesulitan kewangan. Anda boleh mencatat nilai harta bersih yang tinggi tetapi pada masa sama, masih mengalami kesukaran. Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?
Apabila memiliki aset tidak mudah cair (mudah ditukar kepada wang tunai), masalah mungkin timbul pada masa depan. Mari kita lihat bagaimana ini boleh terjadi. Katakan anda mempunyai rumah sebagai aset (kediaman anda), tetapi anda tidak mempunyai wang tunai dalam dompet atau dalam akaun bank dan tidak mampu membayar hutang kad kredit anda.
Keadaan yang paling mendesak adalah bahawa anda memerlukan wang bagi perbelanjaan harian anda. Oleh sebab anda menganggur dan tidak berupaya menjana pendapatan, anda memutuskan untuk menjual rumah anda. Masalahnya, anda mungkin tidak berupaya menjual rumah anda serta merta. Ini kerana rumah bukanlah aset cair yang mudah dijual dan mencari pembelinya boleh memakan masa berbulan-bulan. Rumah ini juga mungkin adalah kediaman anda seisi keluarga, jadi anda tidak boleh menjualnya melainkan anda mempunyai kediaman lain.
Kita boleh membuat kesimpulan mudah bahawa mempunyai keadaan kewangan yang baik bermakna memiliki portfolio aset yang seimbang supaya anda tidak kehabisan wang tunai pada bila-bila masa. Dengan itu anda boleh menjamin kebebasan kewangan dalam genggaman anda. Apabila hutang anda melebihi apa yang dimiliki, nilai harta bersih adalah negatif.
Dalam keadaan sedemikian, anda mungkin tidak mampu membayar hutang apabila sampai tempohnya. Anda tidak mempunyai wang atau aset yang boleh ditukar dengan mudah kepada wang tunai. Anda mengalami masalah kewangan dan mungkin diisytiharkan muflis. Nilai harta bersih memberi petunjuk mengenai kedudukan kewangan anda pada sesuatu masa. Jangan senaraikan butiran bukan tunai sebagai tunai kerana item terbabit mungkin tidak mudah untuk dijual.
Memperoleh nilai harta bersih
Langkah 1 – Senaraikan barangan bernilai yang anda miliki
• Wang tunai dan yang seumpamanya seperti akaun simpanan, simpanan tetap dan akaun pasaran wang
• Pelaburan seperti saham, bon dan dana amanah saham (unit trust).
• Dana persaraan seperti KWSP dan akaun persaraan peribadi.
• Harta benda termasuk hartanah atau harta peribadi yang akan meningkat nilainya.
• Kepunyaan peribadi yang boleh dijual untuk mendapatkan wang seperti barangan kemas, jongkong emas, hasil seni dan barangan antik (nyatakan pada nilai pasaran iaitu harga yang sanggup dibeli oleh pembeli yang rasional dan berpengetahuan)
Langkah 2 – Jumlah aset anda
Langkah 3 – Senaraikan hutang anda
• Pinjaman termasuk gadai janji, pinjaman pelajaran, pinjaman bank dan pinjaman lain.
• Baki kad kredit.
• Cukai tertunggak seperti cukai hartanah dan cukai pendapatan.
• Hutang kepada saudara mara, kawan dan orang lain.
• Baki bayaran ansuran bagi barangan pengguna seperti perabot dan televisyen.
Langkah 4 – Jumlahkan liabiliti anda
Langkah 5 – Aset tolak liabiliti
• Sekiranya jawapannya adalah positif, tahniah ! Anda harus merancang cara menambahkan nilai harta bersih anda. Tetapi sekiranya jawapannya negatif, jangan kecewa kerana anda masih boleh mengambil langkah – langkah untuk memperbaiki keadaan anda.
Ada beberapa cara untuk menambahkan nilai harta bersih anda. Ini termasuk menambah tabungan, mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan hutang dan menjual sebahagian daripada harta benda atau aset yang tidak menjanakan keuntungan.
Hubungi saya @ 019-2121210 atau email nazri.cfp@gmail.com sekiranya berminat menjadi “Unit Trust Consultant” semada sepenuh masa atau part time. Di samping dapat menambah ilmu tentang kewangan, anda dapat menambah pendapatan.
Click LIKE fanpage www.fb.com/KewanganAnda untuk tips kewangan melalui facebook.
Leave a Reply