Perakaunan Syarikat : Rutin Mingguan Yang Wajib Dilaksanakan

Memulakan perniagaan merupakan suatu usaha murni yang dituntut oleh Islam bagi memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat dan keluarga. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa 9 daripada 10 punca rezeki datangnya dari perniagaan.

Perniagaan merupakan sebuah bidang yang memerlukan komitmen yang tinggi. Kajian yang terperinci perlu dilakukan sebelum memulakan sesuatu usaha tersebut. Pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum memulakan sesuatu perniagaan termasuk kajian pasaran, penggajian pekerja, sumber bahan mentah dan bidang perniagaan yang berpotensi.

Bidang perniagaan yang dipilih merupakan di antara faktor penentu kejayaan sesuatu perniagaan. Kajian pasaran yang menyeluruh serta kajian mengenai potensi sesuatu bidang perniagaan pada masa hadapan juga amatlah penting bagi memastikan perniagaan yang diceburi masih relevan di dalam pasaran akan datang.

Bagi memastikan kelancaran sesuatu perniagaan, seseorang ahli perniagaan perlu mempunyai kemahiran asas untuk merekod dan menganalisa penyata kewangan perniagaan pada sesuatu masa tertentu. Perkara-perkara ini adalah penting supaya ahli perniagaan tersebut dapat mengkaji:

  • Kadar keuntungan sesuatu operasi perniagaan.
  • Memastikan kelicinan aliran tunai perniagaan.

Disiplin merekod dan menyimpan dokumen-dokumen kewangan perniagaan seperti penyata akaun bank, invois dan resit merupakan asas utama di dalam penyediaan penyata kewangan perniagaan. Aktiviti tersebut merupakan disiplin asas yang diperlukan oleh seseorang ahli perniagaan untuk berjaya di dalam bidang yang diceburi.

Kesibukan menjalani operasi harian perniagaan bukanlah menjadi alasan untuk tidak berpeluang untuk merekodkan transaksi-transaksi kewangan perniagaan dari masa ke semasa. Ahli perniagaan mestilah mewujudkan disiplin yang teguh atau “Standard Operating Procedure (SOP)” bagi merekodkan transaksi-transaksi kewangan tersebut.

4 Rutin Pengurusan Akaun Syarikat

Setiap ahli perniagaan mestilah mempunyai disiplin diri bagi merekod dan menganalisa prestasi perniagaan sekurang-kurangnya sekali di dalam seminggu. Antara rutin mingguan tersebut merangkumi:

#1 – Pengeluaran Invois Jualan Terkini

Invois jualan merupakan dokumen transaksi yang amat penting bagi membuktikan produk jualan atau perkhidmatan telah disediakan kepada pelanggan perniagaan. Ianya amat penting untuk dikeluarkan dan dihantar kepada pelanggan agar bayaran yang dikenakan dapat dikutip berdasarkan produk atau perkhidmatan yang telah dikeluarkan.

Kutipan tunai dari para pelanggan amatlah penting demi menjamin kelancaran aliran tunai sesebuah perniagaan terutamanya dalam menanggung segala komitmen perbelanjaan perniagaan serta kos untuk menghasilkan satu-satu jualan. Tanpa kutipan tunai ini, perniagaan pastinya tidak akan ke mana-mana.

#2 – Merekod Bil & Perbelanjaan Overhead

Bil-bil pembelian mestilah direkod serta dijelaskan mengikut jangkamasa yang dipersetujui bersama para pembekal. Ini adalah penting supaya bahan-bahan mentah yang dibekalkan dapat diterima pada masa yang telah ditetapkan supaya ianya tidak mengganggu proses jualan perniagaan dari masa ke semasa.

Merekodkan semua bil-bil semasa serta perbelanjaan syarikat ini dapat membantu anda untuk menganalisa berapakah kos operasi syarikat anda. Anda juga dengan mudah untuk memotong perbelanjaan yang tidak diperlukan seperti bil-bil tambahan untuk berjumpa pelanggan agar bisnes anda lebih menguntungkan.

#3 – Memeriksa Penyata Akaun Perniagaan

Penyata Akaun Semasa perniagaan yang dibuka di bank-bank perdagangan amat penting kerana ianya merupakan sumber rekod utama pembayaran dan penerimaan tunai dari pembekal dan pelanggan perniagaan. Setiap penyata ini menunjukkan berapa banyakkah keuntungan serta kos yang diperlukan setiap minggu.

Kaedah hubungan perniagaan yang menggunakan transaksi pembayaran cek-cek perniagaan akan ditunjukkan di dalam Penyata Akaun Semasa dari masa ke semasa. Penyata Akaun Semasa ini juga boleh dijadikan sebagai rujukan di dalam menganggarkan prestasi dan keupayaan perniagaan di masa hadapan.

#4 – Memeriksa Transaksi Urusniaga

Pemeriksaan dokumen transaksi-transaksi perniagaan seperti yang dinyatakan ini amatlah penting bagi menjamin setiap barangan belian dan jualan direkodkan. Ia dapat membantu ahli perniagaan untuk melihat keupayaan bisnes dan merangka strategi bisnes untuk jangka masa panjang.

Keupayaan seseorang ahli perniagaan memastikan rekod yang baik akan mengurangkan risiko kehilangan barangan perniagaan, memastikan penyimpanan stok berada di tahap optimum serta pengurusan aliran tunai yang cekap. Ia dapat memaksimumkan keuntungan dan meminimumkan kerugian perniagaan.

Setiap kerja yang dilakukan mestilah mempunyai disiplin yang khusus agar kerja-kerja yang dilakukan akan berada pada tahap yang terbaik. Perkara tersebut tidak terkecuali kepada setiap ahli perniagaan yang inginkan kejayaan di dalam perniagaan yang diceburi.

Selain dari persediaan awal sebelum memulakan perniagaan, setiap ahli perniagaan perlu memastikan bahawa aktiviti perniagaan yang diceburi mempunyai keuntungan yang diimpikan. Sekiranya terdapat perbezaan di dalam transaksi perniagaan, perkara tersebut boleh dikenal pasti dan diperbetulkan dengan cepat.

Pada masa kini, terdapat pelbagai perisian komputer yang membolehkan para ahli perniagaan membuat catatan rekod perniagaan yang sempurna dan berkesan. Ia memudahkan kita untuk melihat tahap prestasi sesuatu perniagaan tersebut dan mengenal pasti kelemahan utama terutamanya di dalam aspek kawalan perbelanjaan perniagaan.

Tambahan pula, terdapat juga beberapa firma perakaunan yang menyediakan khidmat simpan kira (‘book-keeping’) bagi membantu ahli perniagaan di dalam menganalisa serta merekodkan dokumen-dokumen perniagaan yang berkaitan. Ia juga penting agar ahli perniagaan diberi input yang berguna demi kemajuan perniagaan masing-masing.

Penulis: Rizal Hafiz

Sumber : http://www.majalahniaga.com

http://www.majalahniaga.com/perakaunan-syarikat-4-rutin-mingguan-yang-wajib-dilaksanakan.html

DISCLAIMER: Segala yang ditulis di fanpage atau blog www.KewanganAnda.com adalah dari sumber bacaan saya, pandangan saya secara peribadi dan tidak melambangkan atau mewakili mana-mana organisasi yang saya terlibat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*